GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail


MAYAT pemancing yang hilang selepas bot dinaiki terbalik di Sungai Lebir, Pengkalan Kampung Tualang di Kuala Krai, kelmarin, ditemui hari ini.

Mayat Muhammad Faiz Maimun, 32, ditemui terapung di permukaan sungai pada 7.30 pagi kira-kira 700 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, untuk tindakan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, mayat berjaya dikesan pasukan pemantau kira-kira 700 meter dari lokasi lemas dan mula ditolak arus.

“Empat anggota kemudian menuju ke lokasi mayat menggunakan bot.

“Mayat dibawa naik ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, susulan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak malam kelmarin dihentikan.

Terdahlu Harian Metro melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua rakannya terbalik.

Dalam kejadian 8 malam itu, mereka dalam perjalanan pulang selepas memancing.

Dua lagi rakan mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.

Bot terbalik: Seorang hilang, dua selamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 12:36 PM