Mohammad Ishak


UPDATE 3.54 petang

JERTIH: Jasad Nurul Nadirah Hakman, 9, ditemui pasukan mencari kira-kira 10 meter dari bot yang dinaikinya terbalik di Sungai Besut.

Jasad ditemui 1.45 petang tadi. Anggota Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung masih berusaha mencari Nurulhamila Ismail, 16.

Pagi, 12 November

Jertih: Dua hilang dan dikhuatiri lemas manakala lima lagi selamat selepas bot dinaiki mereka terbalik di Sungai Besut di Kampung Cegar Batang, Besut, pada 9.30 pagi ini.

Mangsa yang hilang itu dikenal pasti sebagai Nur Nadirah Hakman, 9, dan Nurulhamila Ismail, 16.

Antara lima yang selamat pula dipercayai bapa saudara kepada kedua-duanya, Salahuddin Abd Rahman, 50.

Empat lagi adalah Hasnah Mat Zin, 57, iaitu isteri Salahuddin dan dua anak mereka, Zarina, 40, dan Norashikin, 30, serta seorang lagi anak saudaranya, Aina Nasrah, 12.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Pegawai Bomba Kanan II Syaiful Ali berkata, lima mangsa diselamatkan penduduk kampung.

Menurutnya, pihaknya yang menerima laporan kejadian berkenaan kira-kira 10 pagi.

Beliau menjelaskan, Bomba dan Penyelamat difahamkan, mereka yang terdiri daripada satu keluarga itu dikatakan hendak mencari etak.

“Bot mereka dikatakan tiba-tiba terbalik ketika mereka sedang mencari etak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 4:15 PM