Operasi di kaunter daftar masuk KLIA pulih selepas mengalami gangguan sistem sejak Rabu lalu. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Operasi di kaunter daftar masuk KLIA pulih selepas mengalami gangguan sistem sejak Rabu lalu. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A’isyah Sukaimi


“SEMUANYA lancar, tiada masalah malah saya tak berdepan dengan sistem tergendala,” kata warga Malaysia, Carmen Wong, 30.

Dia yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang berlepas ke Phnom Penh, Kemboja 4.40 petang hari ini. Carmen berkata, dia mengetahui mengenai gangguan teknikal di KLIA yang dilaporkan sejak Rabu lalu dan sudah bersiap sedia menghubungi pihak berkenaan.

“Saya mengetahui mengenai masalah itu dan menelefon lapangan terbang untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut bagi mengelakkan sebarang masalah.

“Mereka menasihatkan supaya saya datang awal ke KLIA,” katanya.

Rakyat Indonesia, Izabel Putri Musni, 26, berkata, dia mahu pulang ke Jakarta 3 petang ini dan proses pendaftaran masuk termasuk bagasi tidak berdepan masalah.

“Saya tidak mengetahui mengenai masalah gangguan teknikal dihadapi di KLIA tetapi hari ini proses pendaftaran masuk lancar dan tiada masalah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan seawal 7 pagi mendapati, operasi perkhidmatan di KLIA berjalan lancar seperti biasa selepas beberapa hari dilaporkan berdepan kesukaran.

Bilangan petugas ‘Airport Care Ambassadors’ yang memakai vest hijau sebelum ini yang ditempatkan di kawasan terminal bagi membantu penumpang juga dilihat berkurangan.

Selain itu, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) utama berfungsi sepenuhnya dengan status terkini berbanding sebelum ini, yang mana penumpang perlu memeriksa maklumat menerusi papan kenyataan putih ditulis secara manual.

Pada masa sama, kaunter daftar masuk bagasi juga berjalan lancar serta tidak sesak berbeza ketika masalah itu berlaku apabila pergerakan penumpang dilaporkan terlalu ramai di terminal.

Di bahagian luar terminal aras lima, kelihatan trak air Milo dan Maggi yang menyediakan minuman serta mi segera dalam cawan secara percuma kepada orang ramai.

Menerusi akaun Instagram Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kedua-dua makanan dan minuman itu atas inisiatif tanggungjawab sosial syarikat Nestle.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dilaporkan berkata, masalah gangguan sistem dialami di KLIA sejak Rabu lalu disebabkan kegagalan rangkaian.

Beliau dipetik berkata, sebagai langkah penyelesaian, MAHB sudah menggantikan perkakasan rangkaian berkenaan yang ketika ini sedang diuji dan dipantau kestabilannya.

Menerusi kenyataan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) malam tadi memaklumkan, tiada aktiviti serangan siber dikesan setakat ini susulan insiden gangguan teknikal di KLIA, sejak Rabu lalu.

NACSA memaklumkan siasatan awal yang dilaksanakan MAHB mendapati kejadian itu disebabkan kegagalan perkakasan rangkaian.

Berita berkaitan:

  • Tiada serangan siber di KLIA [METROTV]
  • Siasat sebab TAMS kacau
  • Apa sudah jadi KLIA?
  • MAVCOM bimbang insiden gangguan di KLIA
  • MAHB tak minta bantuan sukarelawan
  • Kami kecewa, penat menunggu
  • KLIA terus alami gangguan sistem
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 2:34 PM