Air mentah dipam dari Sungai Muar melalui paip sepanjang 73 kilometer memasuki Empangan Durian Tunggal, Melaka pada dua hari lalu. Foto Khairunisah Lokman
Air mentah dipam dari Sungai Muar melalui paip sepanjang 73 kilometer memasuki Empangan Durian Tunggal, Melaka pada dua hari lalu. Foto Khairunisah Lokman
Rizanizam Abdul Hamid


SYARIKAT Air Melaka Berhad (SAMB) tidak akan melaksanakan catuan bekalan air di seluruh negeri walaupun sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk berbuat demikian hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Khalid Nasir berkata, ia susulan loji rawatan air (LRA) yang terjejas sebelum ini kembali mencapai kapasiti maksimum selain paras air Sungai Melaka yang semakin meningkat apabila hujan sejak beberapa hari lalu.

“Kita tak akan buat catuan air bersih walaupun permohonan diluluskan SPAN kerana paras air semasa sungai sudah penuh, semua loji rawatan air kita pun dah mencapai kapasiti maksimum.

“Keadaan sudah mula pulih dan sekarang ini fokus kita adalah untuk memenuhkan semula air Empangan Durian Tunggal melalui kolam takungan yang sudah mula dipenuhi air mentah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Melaka hari ini.

Beliau mengulas kenyataaan media dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman di Cyberjaya hari ini yang mengesahkan SPAN sudah meluluskan permohonan SAMB untuk melaksanakan catuan bekalan air di Melaka berkuat kuasa semalam.

Isnin lalu, tular permohonan surat rasmi berkepala surat SAMB yang ditandatangani Mohd Khalid memohon pelaksanaan cadangan berkenaan daripada SPAN berkuat kuasa semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, dalam keadaan semasa hujan lebat sejak Isnin lalu sehingga hari ini, SAMB tangguhkan cadangan catuan itu.

“Sekiranya kita mahu buat catuan pun, pengguna akan dimaklumkan tiga atau empat hari lebih awal, bukannya dibuat secara tiba-tiba.

“Alhamdulillah sekarang ini paras air Sungai Melaka meningkat kepada 2.1 meter dari paras laut berbanding sebelum ini terendah pada paras 1.2 meter.

“Loji-loji rawatan kita sudah penuh dan kita sedang mengumpul semua data bacaan di empangan dan mungkin esok baru kita boleh kongsikan maklumat bacaan tertentu,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Tak pernah terjadi...
  • Belum tahap krisis air lagi - EXCO Melaka
  • 'Tiada air lapor kepada saya' - Adly
  • Sedia hulur air kepada Melaka
  • Jangan dah tular baru nak bertindak
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 9:11 PM