Shahrinnahar Latib


PESARA kerajaan di Temerloh sanggup menyerahkan nombor kad debit dan nombor PIN kepada sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis selepas dikatakan terbabit dalam kes jenayah.

Akibatnya, lelaki berusia 63 tahun itu kerugian RM103,950 selepas wang simpanannya lesap didakwa dikeluarkan sindiket itu secara berperingkat sejak kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kira-kira 10 pagi, Jumaat lalu, mangsa yang tinggal di Taman Saga, Temerloh, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Wong’.

“Suspek mendakwa dia kakitangan daripada Celcom Center Pulau Pinang dan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan bil telefon sebanyak RM4,000 serta akan disenaraihitamkan.

“Kemudian talian disambungkan pula kepada pihak ‘polis’ Pulau Pinang dan berhubung dengan dua lagi suspek yang menyamar sebagai ‘pegawai polis’.

“Suspek meminta butiran kad bank milik mangsa untuk membekukan akaun mangsa atas alasan bagi tujuan siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian menyerahkan nombor kad debit dan nombor PIN miliknya kepada suspek selain membuka perbankan dalam talian atas arahan suspek.

“Pada 3.49 petang hari sama, mangsa mendapati terdapat 13 transaksi berjumlah RM103,950 dipindahkan ke dalam tiga akaun berasingan tanpa pengetahuan mangsa.

“Pengadu mula berasa curiga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam,” katanya.

Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan mangsa dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita juga sedang memburu semua suspek terbabit, termasuk tiga pemilik nombor akaun yang digunakan untuk memindahkan wang milik mangsa. Polis sudah mengenal pasti tiga pemilik akaun terbabit dan sedang mengesan semua individu berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 9:16 AM