Nik Azman (dua dari kanan) menyerahkan LKAN 2018 kepada Noraini. FOTO Azhar Ramli
Nik Azman (dua dari kanan) menyerahkan LKAN 2018 kepada Noraini. FOTO Azhar Ramli
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TUJUH kementerian dan jabatan kerajaan akan dipanggil berhubung laporan audit prestasi bagi program, aktiviti dan projek yang dikeluarkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, untuk permulaan, pengurusan Unit Pembangunan Sosioekonomi untuk Masyarakat India (SEDIC) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kastam serta Kementerian Kewangan berkaitan isu subsidi gas petroleum cecair (LPG) akan dipanggil.

“Kementerian dan jabatan kerajaan lain akan dipanggil kemudian selepas PAC bermesyuarat bagi membincangkan bentuk prosiding yang sesuai sebagaimana diketengahkan laporan audit berkenaan.

“Suka saya tekankan di sini, ketua setiausaha yang dipanggil dapat menghadirkan diri pada tarikh ditetapkan dan jika tidak dapat hadir kerana kekangan tugasan lain, mereka perlu menghantar surat rasmi dan memberikan tarikh sesuai untuk menghadiri prosiding PAC,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Audit Negara di Parlimen hari ini.

Hadir sama, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Menurut Noraini, dalam pertemuan itu, Nik Azman mengemukakan Laporan Ketua Audit Negara 2018 mengandungi 16 buku berkaitan laporan prestasi aktiviti, prestasi bagi program, aktiviti dan projek kerajaan persekutuan; laporan kewangan kementerian dan jabatan kerajaan serta laporan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan.

Katanya, tujuh kes membabitkan enam kementerian dan jabatan kerajaan dikemukakan Ketua Audit Negara untuk pertimbangan PAC.

“Tujuh kes itu adalah pengurusan aktiviti SEDIC, JPM; isu subsidi LPG Jabatan Kastam, Kementerian Kewangan; kes kawalan pekerja asing membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta aktiviti di Unit Kecemasan dan Trauma Kementerian Kesihatan.

“Selain itu, kes kelewatan pembinaan selama enam tahun Sekolah Sukan Malaysia Perlis, hub pendidikan tinggi di Pagoh membabitkan Kementerian Pendidikan dan kes Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut diberi tumpuan,” katanya.

Noraini berkata, dalam taklimat itu, PAC turut dimaklumkan mengenai prestasi 19 projek kerajaan membabitkan 11 kementerian.

Katanya, daripada jumlah itu, enam projek sudah mencapai prestasi ditetapkan, satu projek tidak mencapai tahap, lapan projek pula belum mencapai tahap prestasi dan empat tidak dapat diukur prestasinya.

“Laporan audit itu juga memaklumkan tujuh kes membabitkan pembayaran yang tidak wajar bernilai RM38.73 juta dan lima kes dikesan membabitkan ketirisan bernilai RM1.76 bilion dan enam kes dikategorikan sebagai membazir. 26.47 juta.

“Selain itu, antara sebab kelemahan prestasi projek itu adalah akibat kelemahan perancangan projek; kelemahan aspek bayaran; pentadbiran kontrak tidak teratur; pembinaan tidak mengikut kualiti dan spesifikasi ditetapkan serta kelemahan pemantauan projek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 5:47 PM