NIK AZMAN (kanan) bersama Wong Kah Woh menunjukkan kad laporan Audit Negara ketika sidang media. FOTO BERNAMA
NIK AZMAN (kanan) bersama Wong Kah Woh menunjukkan kad laporan Audit Negara ketika sidang media. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid memaklumkan terdapat 11 isu punitif daripada 153 isu dikenal pasti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat mendedahkan maklumat terperinci berhubung perkara itu kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang akan dijalankan.

"Daripada 153 isu itu, 11 isu adalah isu punitif manakala 142 lagi adalah isu korektif. Cuma saya tak boleh lagi beri penjelasan. Kalau kita sebut, mereka yang terlibat itu mungkin mereka boleh menyembunyikan maklumat. Kes-kes mana yang ada isu punitif biasanya kita akan berbincang dengan agensi penguat kuasa terlebih dahulu.

"Katakanlah isu itu melibatkan siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) umpamanya, bila kita bentangkan kepada SPRM penemuan kita SPRM akan menimbang sama ada terdapat kes atau tidak di pihak mereka. Kalau SPRM tak boleh ambil tindakan mungkin polis dari segi jenayah komersial umpamanya," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, selain tindakan oleh agensi penguat kuasa, Jabatan Perkhidmatan Awam juga boleh menjalankan siasatan terhadap isu punitif dari segi tindakan disiplin kepada penjawat awam.

Nik Azman berkata, jabatan itu akan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas untuk menyiasat dan sekiranya ada isu punitif tindakan akan diambil terhadap mereka yang terbabit.

"Dari pihak kami pula, kita ada buat 'follow up' (susulan) menerusi Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara yang akan memantau atau memastikan isu-isu ini diambil kira dari segi pembetulan supaya apa-apa kerugian oleh kerajaan boleh diminimumkan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Wong Kah Woh yang turut hadir pada sidang media itu berkata sepanjang tahun ini sebanyak lima laporan PAC dibentangkan dan empat daripadanya membabitkan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara manakala satu lagi laporan adalah berdasarkan kepentingan awam.

Beliau berkata, empat laporan itu adalah Pengurusan Projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis; Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP); Aktiviti Kawalan Pekerja Asing serta Pengurusan Educational Malaysia Global Services (EMGS).

"Laporan PAC berhubung Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah membabitkan kepentingan awam," katanya.

Selain itu, menurutnya jawatankuasa itu juga membentangkan tiga laporan tindakan susulan kementerian terhadap syor yang dibangkitkan dalam laporan PAC membabitkan tuntutan tunggakan bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion, kerugian pelaburan Khazanah Nasional dan pembangunan "air mobility".

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 7:54 PM