Siti Sofia Md Nasir


KERAJAAN bakal memperkenalkan sistem pembelian barangan keperluan menerusi konsep perniagaan e-dagang, dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata konsep itu diperoleh ketika kunjungan kementeriannya ke China selepas melihat sistem operasi e-dagang sebuah syarikat peruncitan dalam talian terkemuka negara itu, JD.com (JD).

“Ketika di China, kami melihat bagaimana JD menguruskan syarikatnya yang menjual hampir semua barangan keperluan manusia hanya melalui platform e-dagang.

“Misi kami adalah untuk belajar dan memahami sistem mereka. Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kami belajar daripada mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Asean Products Trade Centre (APTC) di Bayan Lepas, semalam.

Saifuddin berkata, cadangan pelaksanaan sistem itu sudah dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) baru-baru ini dan menerima reaksi positif daripada semua pihak.

Beliau berkata, kementeriannya ketika ini mempunyai pasukan khusus untuk membangunkan platform e-dagang berkenaan, selain menghantar beberapa pegawai tinggi untuk menjalani latihan intensif.

“Kami tiada jangkaan bilakah sistem ini akan dapat digunakan, tetapi sedang berusaha upaya untuk membangunkan e-dagang supaya ia dapat membantu meringankan beban rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 1:24 AM
SAIFUDDIN (tiga dari kanan) melawat pameran ketika hadir merasmikan Asean Products Trade Centre (APTC) di Bayan Lepas, semalam. FOTO Mikail Ong.
SAIFUDDIN (tiga dari kanan) melawat pameran ketika hadir merasmikan Asean Products Trade Centre (APTC) di Bayan Lepas, semalam. FOTO Mikail Ong.