DALAM tempoh sebulan selepas PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lalu, aktiviti perniagaan dalam talian meningkat 28.9 peratus.
DALAM tempoh sebulan selepas PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lalu, aktiviti perniagaan dalam talian meningkat 28.9 peratus.

MESKIPUN ia bukan rahsia lagi bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terkesan akibat pandemik Covid-19 dan disusuli Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, namun banyak PKS berjaya bertahan dengan mengendalikan perniagaan mereka dalam talian.

Malah, dalam tempoh sebulan selepas PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lalu, aktiviti perniagaan dalam talian meningkat 28.9 peratus, demikian menurut laporan berita.

Banyak PKS termasuk restoran, kedai runcit, pasar raya dan peniaga menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan kepada pengguna yang boleh diperoleh menerusi dalam talian yang membolehkan mereka akses kepada pasaran yang lebih besar dan luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PKS Malaysia, Rizal Nainy berkata, penyertaan e-dagang dalam kalangan PKS meningkat tiga peratus antara Mac dan Oktober 2020 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Antara 1 Mac hingga 31 Oktober tahun lalu, 373,213 entiti mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi kategori dalam talian.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengendali Restoran Muslim Malaysia, Datuk Jawahar Ali memberitahu Bernama, lebih 2,500 restoran - atau 65 peratus daripada jumlah 4,250 ahli seluruh negara - kini turut menjalani perniagaan dalam talian dan menambah kata pandemik Covid-19 sebagai 'dorongan' bagi mereka untuk membawa perniagaan mereka ke platform digital.

Rizal menggesa pengusaha dan peniaga untuk maju dan serius mempertimbang bagi menyesuaikan teknologi maklumat dan komunikasi kerana ia memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan sektor PKS tidak hanya dari segi meningkatkan produktiviti dan kecekapan, tetapi juga dalam memperluas jangkauan pasaran mereka.

Bagi menyesuaikan diri dengan ekonomi digital secara keseluruhan, PKS perlu mereka mereka semula model perniagaan untuk memastikan mereka mempunyai strategi, proses dan infrastruktur perniagaan yang betul untuk menyokong transformasi digital.

"Ini menjadi semakin penting sekarang ini memandangkan pandemik yang masih dialami mempengaruhi banyak perniagaan, terutama mereka yang belum menyesuaikan digitalisasi dan belum menceburkan diri dalam e-dagang," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, dari Pusat Pengajian Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, memuji langkah peniaga mendigitalkan operasi mereka dengan menyatakan bahawa langkah itu bukan sahaja akan menghasilkan pendapatan berpotensi lebih tinggi tetapi juga sejajar dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0 negara ini.

Memetik penjualan satu hari yang luar biasa oleh pemain e-dagang Ali Baba dan JD.com pada 11.11.2020 (festival beli-belah global), beliau berkata, jumlah penjualan gabungan mereka lebih tinggi daripada peruntukan Belanjawan 2021 Malaysia iaitu RM322.5 bilion.

Untuk rekod, Ali Baba mencatatkan jualan bernilai RM230.89 bilion dan JD.com RM165 bilion pada 11.11.2020, yang meningkat sehingga RM395.89 bilion.

Oleh itu, pengusaha melaksanakan langkah tepat dalam memindahkan operasi mereka ke ekosistem digital untuk memanfaatkan pasaran dalam talian yang menguntungkan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 7:20 AM