NAJIB bersama Ma ketika mengadakan pertemuan di Beijing, semalam.
NAJIB bersama Ma ketika mengadakan pertemuan di Beijing, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengasas dan pengerusi eksekutif syarikat gergasi e-dagang Jack Ma dilantik menjadi penasihat pembangunan ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia.

Menurutnya, dalam perjumpaan dengan Ma semalam, beliau mengatakan hal terbabit dan Ma bersetuju dengan cadangan Malaysia itu.

Bercakap kepada sidang media bagi mengakhiri lawatannya ke China selama seminggu, di sini, hari ini beliau berkata, Ma juga memberi komited melawat Malaysia untuk menghadiri Forum Transfomasi Global anjuran Pemandu pada 23 Mac tahun depan.

Sebelum itu, Perdana Menteri merasmikan Malaysia Tourism Pavilion Alitrip yang berkonsep e-dagang dalam usaha menarik pelancong China ke Malaysia.

“Serentak itu juga, kami melancarkan e-Zon Bebas Cukai seperti pengumuman saya dalam Bajet 2017, baru-baru ini.

“Tidak lama maknanya dalam suku pertama 2017 kami lancarkan e-FTZ yang pertama di dunia,” katanya.

Beliau berkata, dalam menggubal konsep e-FTZ, termasuk ciri-cirinya dan peraturan, Malaysia akan berbincang dengan Ma kerana beliau pakar dalam e-dagang.

“Ma dianggap ikon global dalam bidang teknologi maklumat sudah tentu beliau amat sesuai.

“Kita akan melihat beberapa perkara, termasuk Alipayment dan online banking. Ini semua dibuat secara pakej dalam e-dagang,” katanya.

Sambil memuji Alibaba, beliau berkata, ia ada membangunkan sistem online yang cekap hingga permohonan pinjaman boleh lulus dalam tiga minit menggunakan data besar.

Itu kemungkinan boleh dilaksanakan di Malaysia seperti dimaklumkan Ma kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, industri kecil dan sederhana di Malaysia akan mendapat manfaat apabila boleh menggunakan portal Alibaba untuk menjual produk ke China.

Beliau berpendapat jika negara mahu pertumbuhan berganda mesti terbabit dengan e-dagang dan ekonomi digital

Untuk itu, selain Ma, beliau menemui pengasas syarikat utama China iaitu, kumpulan Tencent dan Wanda.

Mereka berhasrat menyertai ekonomi digital di Malaysia.

Sementara itu, dalam ucapan Ma pada perasmian pavilion Malaysia itu, beliau berkata, orang China dulu datang ke Malaysia untuk meneruskan hidup, tetapi kini untuk melancong.

“Saya menyeru anak muda China lebih ramai melancong ke Malaysia kerana banyak destinasi menarik dan menakjubkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 9:37 AM