Antara projek RUMAWIP atau Residensi Wilayah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. FOTO Mohd Zaaba Zakeria
Antara projek RUMAWIP atau Residensi Wilayah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. FOTO Mohd Zaaba Zakeria
Noor Atiqah Sulaiman


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan meningkatkan syarat kelayakan umur bagi pemohon Residensi Wilayah kepada 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.

Residensi Wilayah ialah nama baharu bagi Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang dijenamakan 1 Februari lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad berkata, syarat kelayakan umur 18 tahun sebelum ini dianggap tidak munasabah kerana berkemungkinan nama pemohon digunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, syarat baharu itu dilaksanakan bagi memastikan pemohon sudah bersedia untuk membiayai kos rumah yang dibeli.

“Kita khuatir ada yang ambil kesempatan guna nama pemohon berumur 18 tahun dan selepas beberapa tahun ia ditukar kepada nama pembeli sebenar.

“Jadi untuk menaikkan syarat umur itu adalah satu dasar yang munasabah dan tidak salah untuk kita naikkan ke umur 21 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Khalid berkata, kelayakan baharu itu tidak akan menjejaskan pemohon 18 tahun yang sudah membuat pendaftaran sebelum ini.

“Pemohon 18 tahun yang sudah mendaftar sebelum ini, kita akan semak permohonan, jika layak kita akan luluskan.

“Pemohon untuk kategori umur berkenaan tidak ramai cuma dua peratus iaitu 5,600 pemohon dari jumlah keseluruhan 280,000 pemohon. Dari jumlah berkenaan hanya 10 pemohon saja diluluskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 4:22 PM