NAJIB  dan  Tengku Adnan (empat dari kiri) bersama  penerima kunci rumah pada majlis Penyerahan Kunci RUMAWIP Residensi Pandanmas, semalam.
NAJIB dan Tengku Adnan (empat dari kiri) bersama penerima kunci rumah pada majlis Penyerahan Kunci RUMAWIP Residensi Pandanmas, semalam.
NAJIB   melawat rumah contoh.
NAJIB melawat rumah contoh.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Pembinaan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) membuktikan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan penduduk di Wilayah Persekutuan sentiasa dijaga.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan komited dan mengambil berat keperluan rakyat dalam menyediakan kediaman yang bukan sahaja selesa, malah mampu dimiliki.

“Ia akan terus menjadi keutamaan kerajaan terutama dari segi program yang akan dilaksanakan khas bagi membantu golongan M40 dan B40.

“Pelaksanaan projek perumahan RUMAWIP ini contohnya dapat membantu golongan berkenaan memiliki rumah di Wilayah Persekutuan pada harga lebih rendah dan berpatutan berbanding nilai pasaran,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci rumah RUMAWIP Residensi Pandanmas di ibu negara, semalam.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Residensi Pandanmas dilaksanakan secara perkongsian strategik di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju, syarikat Faber Vista Sdn Bhd.

Pangsapuri terbabit dibina dengan keluasan 850 dan 900 kaki persegi.

Terletak di kawasan strategik di ibu kota, perumahan berkenaan dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, pusat kecergasan, dewan serbaguna, taska serta pusat penjagaan kanak-kanak, taman rekreasi dan banyak lagi.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan turut menyediakan rumah kos sederhana rendah yang dijual pada harga subsidi RM42,000 kepada masyarakat India yang sebelum ini tinggal di kawasan setinggan di Kampung Pandan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 6:57 AM