MEREKA sudah berdamai, Sobri (dua dari kiri), Thinalan (kanan) dan ayahnya, Nagendran ketika perjumpaan di Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan. FOTO/ Muhd Asyraf Sawal
MEREKA sudah berdamai, Sobri (dua dari kiri), Thinalan (kanan) dan ayahnya, Nagendran ketika perjumpaan di Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan. FOTO/ Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“SAYA akui kesalahan dan minta maaf kepada cikgu,” kata pelajar, N Thinalan, 16.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cenderawasih itu sebelum ini menjadi perhatian apabila didakwa ditampar guru Pendidikan Jasmani, Sobri Ismail, 35, pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, perselisihan faham berkenaan dapat diselesaikan dengan harmoni selepas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan mengambil inisiatif mengadakan majlis permuafakatan bagi mencari jalan penyelesaian.

Pelajar tingkatan empat itu berkata, dia menyesal dengan kejadian itu dan berharap dapat meneruskan pembelajarannya seperti biasa.

“Selepas apa yang berlaku saya harap hubungan saya dan cikgu kembali pulih dan dapat meneruskan pelajaran seperti biasa,” katanya ketika ditemui di PPD Kuantan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kejadian pelajar berkenaan didakwa ditampar guru Pendidiman Jasmani itu selepas mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang lagi guru wanita.

Pelajar berkenaan dikatakan tidak berpuas hati kerana dituduh tidak menghantar kerja rumah sebelum bertindak keluar kelas dan menendang pintu sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

Tindakan pelajar itu disedari guru Pendidikan Jasmani itu sebelum bertindak menamparnya selepas terdengar kata-kata kesat itu.

Sementara itu, Pegawai PPD Kuatan, Mohd Razali Mustafa berkata, usaha berdamai antara guru dan pelajar itu amat dipuji dan mereka mengakui kesilapan masing-masing.

“Perkara ini sudah diselesaikan cara baik demi masa depan Thinalan.

“Sudah pasti sebagai pendidik kita mengharapkan supaya Thinalan dapat terus belajar dengan baik tanpa sebarang tekanan dan dendam dalam hal ini.

“Saya juga berharap pihak sekolah dan guru memberi perhatian kepada sahsiah dan tingkah laku pelajar kerana kita mahu lihat pelajar berjaya bukan hanya dari segi pelajaran tetapi juga menjadi manusia yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, bapa Thinalan, R Nagendran, 43, berkata, dia akan menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 1:18 PM