KAMARULZALI memegang beg milik mangsa yang terselamat selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam parit di Yong Peng, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
KAMARULZALI memegang beg milik mangsa yang terselamat selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam parit di Yong Peng, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Badrul Kamal Zakaria


“KAMI bangga dan kagum dengan keberanian Cikgu Kamarulzali Warman menyelamatkan mangsa kemalangan yang teperangkap dalam parit. Kami anggap cikgu adalah hero sebenar.”

Begitu kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Shahril Hafiz Sazali, 15, mengenai guru berkenaan yang bertindak nekad terjun ke dalam parit di hadapan rumahnya di persimpangan Jalan Parit Ya’ani-Jalan Sri Bengkal, Yong Peng.

Tindakan Kamarulzali yang membantu menyelamatkan seorang bapa dan tiga anaknya selepas terbabit dalam kemalangan semalam menjadi tular sehingga mendapat pujian netizen.

Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, gambar menunjukkan keberanian guru terbabit yang berpakaian Kadet Remaja Sekolah (KRS) dalam keadaan basah kuyup mendapat banyak perkongsian dalam media sosial.

Tindakan berani Kamarulzali turut mendapat reaksi Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang memuat naik ke akaun media sosialnya dan meletakkan kapsyen mengucapkan ‘Tahniah Cikgu Kamarul, Cikgu wira kami semua!

Shahril Hafiz berkata, dia kagum dengan keberanian Guru Penolong Kanannya itu yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan mangsa kemalangan yang terjunam ke dalam parit.

“Saya rasa cikgu adalah hero yang sebenar kerana tidak semua orang mempunyai keberanian sebegitu. Saya sendiri pun mungkin berfikir dua tiga kali untuk berbuat tindakan itu jika berada di situasi sama.

“Apabila cikgu dah buat (berani memberi bantuan) timbul juga rasa dalam diri nak beri bantuan jika suatu hari nanti berdepan situasi yang sama, kerana cikgu sudah memberi contoh teladan yang terbaik,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Usaha NSTP untuk menemubual Kamarulzali ketika ditemui di Bilik Guru SMK Dato’ Seth tidak berhasil apabila beliau memilih bersikap merendah diri dengan menyatakan bantuan yang dihulurkan adalah perkara kecil sahaja, namun ia menjadi tular di media sosial.

Pelajar lain Eduan Nadeem Jamil, 15, walaupun dia tidak menyertai KRS yang dikendalikan oleh Kamarulzali sebelum ini, namun sebagai warga sekolah turut berbangga dan kagum dengan tindakan berani gurunya itu.

“Tindakan berani itu menyebabkan saya bertambah hormat dengannya apatah lagi beliau sememangnya terkenal sebagai guru berdedikasi, mesra dan mudah bergaul dengan belajar walaupun perwatakannya agak tegas.

“Cikgu menjadi idola kepada kami termasuk saya sendiri. Tindakan hebat cikgu menyebabkan kami semua bangga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 5:43 PM