ANWAR pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Putrajaya. Turut kelihatan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Putrajaya. Turut kelihatan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail


DATUK Seri Anwar Ibrahim menganggap isu pertukaran jawatan dan transisi sebagai Perdana Menteri sudah selesai dan tidak timbul masalah sama sekali antaranya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Perdana Menteri juga sudah menjelaskan bahawa apa yang dimeterai dan dijanjikan akan ditunaikan.

“Saya akan bertemu Perdana Menteri sebentar lagi untuk mendapatkan lebih kepastian, malah kami juga berjumpa setiap minggu.

“Soal tarikh dan sebagainya itu di antara kami dan kita harus beri ruang. Siapa sahaja Perdana Menteri harus diberi ruang untuk mentadbir dengan berkesan tanpa diganggu tentang jadual perletakan jawatan.

“Saya faham itu dan Tun juga faham, bagi saya dan Tun, isu ini dah selesai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir ketika ditemu bual wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand, ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asean kelmarin yang menegaskan bahawa beliau akan meletak jawatan dalam masa tiga tahun sebelum menyerahkan tugas kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persoalan berhubung tarikh beliau akan berundur dan siapa bakal penggantinya mula menjadi perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Walaupun sebelum ini pernah mengumumkan bahawa Anwar akan menggantikannya, timbul spekulasi bahawa beliau mahukan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dr Mahathir berkata, setakat yang beliau tahu, beliau sudah berjanji untuk berundur dan Anwar akan menggantikannya.

Ditanya berhubung tempoh tiga tahun untuk peralihan jawatan itu, Anwar berkata itu hanya andaian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:09 PM