Mohamad Sabu bergambar selepas menyampaikan sumbangan kepada kaum India di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja hari ini. FOTO Faiz Anuar
Mohamad Sabu bergambar selepas menyampaikan sumbangan kepada kaum India di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja hari ini. FOTO Faiz Anuar
Khairul Azran Hussin

[email protected].

PRESIDEN Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu menegaskan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri ditentukan Majlis Kepemimpinan Pakatan Harapan (PH), bukan individu tertentu.

Beliau berkata, sesiapa saja boleh mencadangkan tarikh peralihan kuasa itu namun ia sekadar pandangan peribadi individu terbabit.

“Segala keputusan adalah berdasarkan perbincangan dalam PH. Sesiapa saja boleh bangkitkan isu ini, tetapi keputusannya adalah di tangan Majlis Kepemimpinan PH.

“Lagi pun tiada tarikh khusus (peralihan kuasa Perdana Menteri), ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali dan Penyampaian Tawaran Pembiayaan Pinjaman Hijrah Selangor anjuran Parlimen Kota Raja di Klang hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di lobi Parlimen hari ini, yang menegaskan perjanjian peralihan kuasa Perdana Menteri itu hanya satu semangat dan persefahaman tanpa ditetapkan sebarang tempoh.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut mencabar mana-mana individu untuk menyatakan kepada umum bahawa ada persetujuan untuk peralihan kuasa dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu beliau berkata, semua pihak perlu berhenti membangkitkan isu peralihan kuasa kerana ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur asing dan domestik, sekali gus menjejaskan ekonomi negara.

Pada sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York, September lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pada Jun lalu, dalam wawancara bersama wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan pendirian bahawa beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar dalam tempoh tiga tahun.

Mandat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu akan berlarutan hingga 2023 sekali gus menyaksikan PRU-15 bakal diadakan pada atau sebelum itu.

Perjanjian bersama antara pemimpin parti komponen PH juga menyatakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu akan menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim, pada tarikh yang belum diketahui.

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Bloomberg Television bahawa beliau menjangkakan mengambil alih tampuk pentadbiran negara sekitar tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan berkata, rakyat perlu menolak amalan perkauman yang dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian negara.

“Pendirian kerajaan sekarang ialah kita akan melayan semua kaum dan agama secara adil.

“Tiada istilah hidup Melayu, hidup India, hidup Cina. Sekarang kita hidup sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:22 PM