PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. FOTO Arkib NSTP.
PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. FOTO Arkib NSTP.
Hairulazim Mahmud


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, belum sampai masanya untuk peralihan kuasa pucuk pimpinan negara dilakukan.

Perdana Menteri menegaskan, tiada siapa yang tahu sama ada situasi Malaysia termasuk ekonomi sudah bersedia atau sebaliknya untuk transisi kepemimpinan berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Ditanya mengenai tindakan pimpinan PH yang menuduhnya sebagai punca kekalahan itu, beliau berkata:

“Mungkin saya salah, mana saya boleh tahu.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan khas pada Majlis Penutup Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Sepang, hari ini.

Susulan kekalahan teruk PH dalam PRK itu, bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali menyifatkan keputusan berkenaan adalah referendum terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Beliau dilapor berkata, mesej yang disampaikan cukup jelas iaitu rakyat kecewa dan mahu mengajar PH khususnya Dr Mahathir.

Malah Syed Hussin mendakwa Perdana Menteri tahu apa yang patut dilakukannya dengan segera tanpa berdolak-dalik lagi.

Tidak cukup itu, beberapa pemimpin komponen PH turut mendesak supaya Dr Mahathir berundur berikutan kekalahan yang memalukan terbabit.

Media sosial menjadi medan mereka meluahkan rasa tidak puas hati dengan kepemimpinan Dr Mahathir dan mahu Datuk Seri Anwar mengambil alih pucuk pimpinan dengan segera.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, umat Islam mesti sanggup mengakui kesalahan sendiri yang menjadi punca ketamadunan Islam tidak lagi gemilang.

“Selagi kita tidak sanggup menyalahkan diri kita, selagi itulah kesalahan itu akan berterusan dan akan berterusanlah juga keadaan buruk yang menimpa kita.

“Dan multaqa ini pun akan menjadi sia-sia sahaja,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 6:48 PM