Hairulazim Mahmud


SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan dan kubur di Wang Kelian hari ini dimaklumkan kemungkinan tulang mayat yang ditemui patah semasa dibawa turun dari lokasi penemuan sehingga menjejaskan proses bedah siasat oleh pakar patologi.

Superintendan Woon Tan Seng yang juga pegawai penyiasat kes itu semasa memberi keterangan di hadapan panel RCI berkata, kawasan bukit Wang Burma memiliki laluan amat curam sehingga menyebabkan anggota membawa turun tulang terbabit beberapa kali tergelincir dan terjatuh.

“Saya bersama anggota Pasukan Gerak Am (PGA) membawa turun tulang mayat ditemui, laluan terlalu curam hingga ada hampir menegak 80 darjah.

“Jadi ada kemungkinan tulang yang patah,” katanya di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Woon bersetuju dengan pendapat Pengerusi RCI, Tun Arifin Zakaria bahawa sepatutnya siasatan terperinci sudah dimulakan oleh polis sebaik sahaja penemuan kem dan kubur pada Januari 2015, sebaliknya siasatan dilakukan empat bulan selepas itu.

Katanya, itu adalah prosedur standard dijalankan pihak berkuasa terbabit ke atas mana-mana kes yang mempunyai unsur jenayah.

“Benar, kalau ikut siasatan wajar dilakukan serta-merta, mungkin ada rancangan tertentu tapi secara umumnya siasatan patut dilakukan serta-merta.

“Dalam kes ini saya tidak tahu sebab apa tidak dibuat begitu,” katanya.

Sementara itu, Woon memaklumkan tiada sebarang tangkapan membabitkan anggota polis yang didakwa terlibat melindungi aktiviti pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

“Sehingga hari ini tidak ada anggota ditangkap terbabit secara langsung dengan kes penyeludupan pendatang di Wang Kelian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 8:45 PM