SAKSI pertama, Koperal Mat Ten. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
SAKSI pertama, Koperal Mat Ten. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hairulazim Mahmud


MESEJ ‘misteri’ diterima wanita yang didakwa anggota sindiket penyeludupan manusia menimbulkan tanda tanya anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.

Ahli RCI Datuk Noorbahri Baharuddin ketika menyoal saksi pertama, Koperal Mat Ten berkaitan mesej itu berkata, wanita itu menjerit ‘polis’ bukan disebabkan ternampak sepasukan anggota PGA berhampiran kem berkenaan.

Sebaliknya, katanya, wanita itu menjerit sebaik saja membaca mesej yang baru diterima melalui telefon bimbitnya.

“Awak nampak muka dia cemas bila mesej masuk, dia melihat sekeliling dan jerit polis, bukan disebabkan awak bertentang mata dengan dia, betul?” soalnya.

Mat dari Batalion Ketiga PGA Bidor, Perak dalam keterangannya mengesahkan bahawa mereka tidak bertentang mata atau bersemuka yang menyebabkan wanita itu menjerit bagi memberi amaran kepada anggota sindiket lain.

Seorang lagi ahli RCI Datuk Junaidah Abdul Rahman menyoal jarak antara Mat dengan wanita berkenaan berdasarkan kenyataan kepada pihak berkuasa sehingga dia boleh melihat wanita itu membaca mesej dan mendengar nada dering telefonnya.

Mat berkata, kedudukan mereka sangat dekat antara satu sama lain sehingga membolehkannya mendengar bunyi telefon bimbit wanita itu.

“Saya lebih kurang daripada terlampau hampir. Saya boleh nampak. Saya berlindung di batu besar,” kata anggota PGA itu.

Terdahulu, Mat memaklumkan bagaimana dia menemui kem perdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand pada 18 Januari 2015.

Dia memberitahu panel RCI, semasa meronda di kawasan menara pandang di atas bukit menghala ke Wang Kelian, dia ternampak denai dan beberapa menara peninjau dibina di atas pokok.

Dia kemudian menyusuri denai sehingga jauh ke dalam hutan kira-kira 300 meter dan melalui curam sebelum menemukan kem, sekumpulan orang dan binaan kayu di kawasan berkenaan.

Pada hari berikutnya iaitu 19 Januari, Mat bersama sembilan termasuk pegawai dan anggota PGA bergerak ke kem itu bagi menjalankan misi tinjauan dan pengawasan.

Berita berkaitan

RCI Wang Kelian bermula hari ini [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 4:24 PM