Gobind dipersembahkan dengan tarian tradisional kaum Bidayuh iaitu 'Belangi' pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Mujat, Mongkos dekat Serian hari ini sempena Hari Gawai. FOTO Bernama
Gobind dipersembahkan dengan tarian tradisional kaum Bidayuh iaitu 'Belangi' pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Mujat, Mongkos dekat Serian hari ini sempena Hari Gawai. FOTO Bernama
Oleh Mohd Roji Kawi

PERAYAAN Hari Gawai hari ini bukan sahaja disambut kaum Dayak, malah turut dimeriahkan pelbagai kaum di Sarawak dalam suasana penuh kemesraan.

Sambutan dimeriahkan dengan amalan ‘ngabang’ atau kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara dan kenalan.

Sambutan Hari Gawai bagi meraikan berakhirnya musim menuai bermula malam tadi dengan pelbagai acara menarik diadakan di rumah panjang tradisi hinggalah ke kawasan kampung dan perumahan yang didiami majoriti masyarakat Dayak.

Pelbagai juadah tradisional masyarakat Dayak seperti makanan yang dimasak dalam buluh atau ‘pansuh’ menjadi hidangan wajib disamping kuih muih seperti kuih penjaram.

Kemeriahan perayaan itu lebih bermakna bagi penduduk di beberapa kampung di Serian dan Padawan di sini, apabila ia turut disambut bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Gobind yang tiba di Kuching malam tadi menghadiri majlis perayaan Gawai Dayak di rumah panjang Kampung Mujat di Mongkos, Serian pada jam 11 pagi ini.

Selesai majlis itu, beliau meneruskan kunjungan ke Dewan Kampung Paon Rimo, juga di Serian.

Gobind mengakhiri program kunjungan Gawai Dayak di Kampung Benuk, Jalan Puncak Borneo, Padawan, petang ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas meraikan perayaan Gawai Dayak hari ini di kawasannya di Bukit Saban, Betong.

Beliau akan mengadakan rumah terbuka sempena perayaan itu di Rumah Panjang Francis Nyanggau di Penom, Betong, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 4:03 PM