GOBIND bergambar bersama pegawai pengamal media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kick-Off Penubuhan Majlis Media Malaysia di Kementeriannya hari ini. Turut kelihatan Kadir (duduk enam, kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad (duduk enam, kiri); Premesh; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nurini Kassim (berdiri lima, kiri); dan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Mokhtar Hussain (berdiri, kiri). FOTO Bernama
GOBIND bergambar bersama pegawai pengamal media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kick-Off Penubuhan Majlis Media Malaysia di Kementeriannya hari ini. Turut kelihatan Kadir (duduk enam, kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad (duduk enam, kiri); Premesh; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nurini Kassim (berdiri lima, kiri); dan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Mokhtar Hussain (berdiri, kiri). FOTO Bernama
BERNAMA

SERAMAI 17 wakil daripada organisasi media cetak, elektronik dan dalam talian; media tempatan dan antarabangsa; kesatuan wartawan; serta wakil badan bukan kerajaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia (MMC).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengumumkan pelantikan itu pada mesyuarat bagi pelancaran penubuhan MMC yang dipengerusikannya di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini, dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran dipilih sebagai Pengerusi pro-tem MMC.

“Jawatankuasa pro-tem ini ditubuhkan berikutan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Disember lalu yang mempersetujui cadangan penubuhan sebuah Majlis Media sebagai sebuah badan kawal-selia kendiri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di Putrajaya tadi.

Gobind berkata pelantikan 17 ahli itu adalah langkah pertama yang diambil selaras dengan salah satu janji manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi penubuhan Majlis Media yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media.

“Keputusan ini adalah satu anjakan yang besar kerana kini usaha penubuhan MMC sudah mula bergerak selepas lama ditangguhkan. Saya difahamkan bahawa penubuhan majlis ini sudah dibangkitkan dan dibincangkan buat kali pertama sejak 45 tahun lalu.

“Kini selaras dengan aspirasi manifesto Pakatan Harapan khususnya janji 27, kami akan menubuhkan sebuah Majlis Media yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media yang akan dipertanggungjawabkan untuk menyelaras garis panduan, etika, pelaporan dan bertindak sebagai badan nisbah untuk menangani aduan dan maklumbalas berkaitan pengamal media,” katanya.

MMC akan meliputi semua jenis media di Malaysia iaitu media cetak, elektronik dan dalam talian yang akan memperkasa dan memastikan kebebasan media serta hak-hak pengamal media dipelihara sementara memastikan pengamalan media yang lebih bertanggungjawab.

Gobind berkata, jawatankuasa itu mempunyai tempoh dua bulan bagi membincang dan menyediakan rang undang-undang yang dicadangkan bagi penubuhannya serta fungsi-fungsinya.

“Draf undang-undang yang akan dirangka jawatankuasa ini akan meneliti lima bidang iaitu matlamat dan fungsi majlis, perlembagaan dan keahliannya, kod etika, kaedah penyelesaian pertikaian dan peruntukan am termasuk memeriksa undang-undang sedia ada yang perlu dimansuhkan atau dipinda apabila majlis ini ditubuhkan,” katanya.

Gobind berharap jawatankuasa itu boleh bertemu semula dengan beliau bersama cadangan-cadangan MMC untuk dibentangkan ke mesyuarat Kabinet berkenaan penubuhan majlis itu.

“Saya berharap selewat-lewatnya akhir tahun ini kita dapat lihat MMC ditubuhkan,” katanya.

Dari segi pembiayaan majlis itu, beliau berkata MMC buat masa ini akan dibiayai sepenuhnya oleh industri media namun pihaknya sedia berbincang sekiranya terdapat pandangan yang berbeza daripada jawatankuasa itu.

Gobind berkata, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin dilantik sebagai Penasihat MMC.

Beliau turut mengumumkan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain sebagai ahli jawatankuasa pro-tem MMC itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 7:05 PM