FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi hari ini menetapkan 22 Ogos depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan tujuh individu yang mencabar keputusan Kementerian Kesihatan berhubung larangan merokok.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam kedua-dua pihak di dalam kamarnya di sini.

Tujuh individu itu diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Kesihatan.

Haniff ketika ditemui berkata, pihak responden iaitu Kementerian Kesihatan ada memfailkan afidavit baru berhubung kes itu pada Jumaat lalu.

Oleh itu katanya, pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan.

Pada 29 Januari lalu, tujuh individu itu memperoleh kebenaran di Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang mewartakan semua tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula awal Januari lalu.

Individu berkenaan adalah Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd. Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48 dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan kebenaran difailkan pada 31 Disember tahun lalu, tujuh perokok memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan menguatkuasakan larang merokok di semua premis makan.

Mereka memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi melalui pemfailan e-filing.

Berdasarkan permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa larangan merokok itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan perbuatan jenayah dan sehubungan itu, perbuatan terbabit sah dari segi undang-undang yang dijamin Perlembagaan.

Menurut pemohon lagi, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.

Mereka turut mengemukakan afidavit sokongan bersama-sama dengan permohonan itu yang diikrarkan oleh Mohd Laisani yang juga Setiausaha PRO-TEM Pertahankan Hak Perokok (PHP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 3:17 PM