Dr Dzulkefly Ahmad. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Dr Dzulkefly Ahmad. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Luqman Arif Abdul Karim


SEMAKAN kehakiman difailkan di mahkamah untuk mencabar penguatkuasaan larangan merokok disifatkan sebagai hak demokrasi rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pertikaian disuarakan segelintir kelompok masyarakat, khususnya perokok tidak patut disekat kerana ia pertikaian mewakili golongan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kementerian bersedia untuk membentangkan hujah di mahkamah bagi mengetepikan semakan kehakiman itu bersandarkan asas perundangan berkaitan.

"Tiada masalah, kita jumpa di mahkamah. Memang hak mereka untuk suarakan sebarang pertikaian terhadap inisiatif kementerian dengan memfailkan semakan kehakiman.

"Tetapi kita mempunyai asas kukuh dalam melaksanakan larangan merokok di sembilan premis awam berteraskan perundangan negara.

"Selain itu, usaha ini selari matlamat kerajaan untuk menjamin kesihatan golongan bukan perokok, khususnya warga tua dan anak kecil yang sering terdedah dengan kesan sampingan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan dan promosi tempat makan sebagai larangan merokok di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, tujuh individu memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makan, mulai 1 Januari 2019.

Permohonan mereka difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, melalui e-filing, dikendalikan Tetuan Haniff Khatri.

Mereka adalah Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48; dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan itu, semua pemohon yang bertindak mewakili diri dan perokok yang menyokong usaha ‘Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok’ menamakan Kementerian Kesihatan selaku responden.

Dalam isu berkaitan, Dr Dzulkefly mengakui wujud ruang pertikaian untuk mengekang penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ di premis yang diwartakan kerana mereka mendakwa cecair perasa tidak mengandungi nikotin.

Katanya, Kementerian bagaimanapun mempunyai mekanisme tersendiri bagi mengesahkan cecair perasa rokok elektronik berkenaan mengandungi nikotin atau sebaliknya menerusi pengambilan sampel untuk diperiksa di makmal.

"Tidak sukar untuk tentukan dan ambil tindakan menerusi prosedur operasi standard (SOP) supaya bukti bagi menyokong pendakwaan berupaya dilakukan," katanya.

Menyentuh isu industri pengeluaran rokok, Dr Dzulkefly menjelaskan tiada keperluan untuk menyemak semula kadar pelepasan nikotin dan tar seperti digariskan dalam Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

Beliau berkata, tanggapan bahawa semakan semula kadar berkenaan berupaya membantu mengurangkan punca ketagihan merokok ialah isu berasingan.

"Dalam, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017, Peraturan 21A, paras tar dan nikotin yang dikawal ialah hanya kadar pelepasan, bukan kandungan dalam rokok seperti tanggapan segelintir pihak.

"Kandungan tar dan nikotin dalam produk tembakau sebenarnya pelbagai dan penyerapan paras kedua-dua bahan kimia ke dalam badan seseorang sebaliknya mengikut cara menghisap," katanya.

Berita berkaitan:

  • Tujuh cabar larangan merokok
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 5:19 PM