Melvin Joni


SUAMI isteri diikat sebelum lima lelaki bersenjata merompak rumah mereka di Taman Senggi, Siniawan, Bau semalam.

Dalam kejadian 3 pagi itu, kumpulan penyamun terbabit melarikan wang simpanan mangsa RM2,000, kereta Nissan Grand Livina serta tiga unit telefon bimbit jenis Asus Zenfone Max, Huawei Mate 8 dan Huawei Nova 3i.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, pasangan itu selamat namun mengalami kerugian dianggarkan RM60,000.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa, berusia 34 tahun, seorang juruteknik komputer bersama isterinya sedang tidur ketika lima penyamun terbabit memecah masuk.

“Suspek masuk melalui tingkap bahagian dapur belakang rumah dan mengikat tangan mangsa menggunakan wayar dan dawai penyangkut baju.

“Kedua-dua mangsa bernasib baik kerana tidak dicederakan dalam kejadian itu,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengunci pintu pagar rumah kerana terdapat segelintir orang membiarkan pintu pagar rumah terbuka pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 11:22 AM