Shahrinnahar Latib


TAKTIK sindiket Macau Scam menakut-nakutkan pesara kerajaan kononnya terbabit dalam kes pengedaran dadah menyebabkan warga emas itu kerugian RM5,200.

Kejadian bermula 17 Mei lalu apabila mangsa berusia 71 tahun, tinggal di Bentong dihubungi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pekerja Pos Malaysia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memaklumkan mangsa mempunyai perintah Mahkamah Kota Kinabalu membabitkan perbicaraan kes pengedaran dadah.

“Mangsa menafikan terbabit dalam kes itu dan panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar pegawai polis.

“Bagi menakutkan lagi mangsa, suspek kedua turut mendakwa kes dihadapi mangsa sangat serius dan boleh dikenakan hukuman penjara,” katanya.

Beliau berkata, suspek meminta mangsa memindahkan semua wang simpanannya kerana akaun bank warga emas itu akan dibekukan selama 45 hari.

“Mangsa yang ketakutan akur dengan arahan itu lalu memindahkan semua wang simpanannya ke nombor akaun diberikan suspek,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas memindahkan RM5,200 ke akaun diberikan suspek, mangsa menghubungi suspek bagi mendapatkan penjelasan lanjut namun gagal.

“Mangsa menyedari dirinya sudah ditipu sindiket itu selepas menceritakan perkara itu kepada anaknya dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kelmarin,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 11:17 AM