Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa laporan polis baharu berkaitan kes penyeludupan daging yang didakwa dikuasai kartel dan membabitkan pemalsuan logo di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, proses siasatan masih diteruskan sehingga kini.

Menurutnya, pihaknya merekodkan pertambahan laporan polis berkaitan kes berkenaan dan laporan baharu diterima hampir setiap hari.

"Kita (polis) membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran orang awam.

"Ia (kertas siasatan) masih dalam proses disiapkan dan sedang mengumpul keterangan untuk dirujuk kepada Peguam Negara," katanya pada sidang media selepas melancarkan Buku Sejarah Penubuhan Briged Tengah dan Batalion 4,5,6 serta 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di PGA Cheras di sini, hari ini.

DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani (tiga dari kiri) bersama Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar (tiga dari kanan) menunjukkan buku ketika majlis pelancaran buku Sejarah Penubuhan Briged Tengah PGA dan Batalion 4, 5, 6, dan 19 PGA di PGA Briged Tengah, Cheras. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
DATUK Seri Acryl Sani Abdullah Sani (tiga dari kiri) bersama Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar (tiga dari kanan) menunjukkan buku ketika majlis pelancaran buku Sejarah Penubuhan Briged Tengah PGA dan Batalion 4, 5, 6, dan 19 PGA di PGA Briged Tengah, Cheras. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Turut hadir Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar dan Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim.

Ditanya mengenai tindakan PDRM susulan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19, Acryl Sani berkata, semua kontinjen di seluruh negara sudah diarahkan meningkatkan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


"Pasukan pematuhan diketuai PDRM dari semasa ke semasa meningkatkan tindakan. Sebagai contoh polis Kelantan baru-baru ini mengeluarkan kompaun kepada individu yang terbabit aktiviti pesta air.

"Tindakan itu diluaskan kepada semua kontinjen terbabit bukan saja pesta air bahkan apa juga sambutan membabitkan perhimpunan orang ramai yang mana isu penjarakan fizikal menjadi masalah utama sekarang ini," katanya.

Katanya, meskipun kes yang tinggi dilaporkan membabitkan kluster tapak pembinaan, namun orang ramai perlu mematuhi SOP ditetapkan bagi mengawal penularan wabak dalam komuniti.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 3:16 PM