(gambar kecil) Shah Kadir mahukan hukuman setimpal ke atas pelaku yang menyebabkan anak dan dua cucunya maut. FOTO NSTP
(gambar kecil) Shah Kadir mahukan hukuman setimpal ke atas pelaku yang menyebabkan anak dan dua cucunya maut. FOTO NSTP
Muhamaad Razis Ismail

BAPA Nor Zurita Kadir yang maut bersama dua anaknya akibat dirempuh sebuah kereta membawa daun ketum di Jalan Machang-Tanah Merah-Jeli di Nibong, Tanah Merah, semalam, mahukan pemandu dihukum dengan setimpal.

Shah Kadir Jaafar, 57, berkata tidak dinafikan pada mulanya dia cukup marah dengan pemandu kereta itu namun reda dengan ketentuan Allah.

“Saya serahkan kepada polis untuk jalankan siasatan dan berharap dia dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gual Jedok, hari ini.

Menurutnya, menantunya, Adnan Abdullah, 27 dan cucu, Siti Hajjar Qistina, 9, masih terkesan dan trauma dengan pemergian orang tersayang.

Dalam kejadian 7.30 pagi, Nur Zurita bersama dua anaknya, Siti Husna Qaisara Adnan, 4, dan Muhammad Adam Mukhriz, 5, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Honda EX5 dinaiki mereka dirempuh Proton Wira yang membawa muatan 150 kilogram daun ketum.

Shah Kadir berkata, kali terakhir dia bertemu dengan arwah dan cucunya ketika mereka menumpang mandi rumahnya pagi sebelum kejadian.

Katanya, tidak lama selepas arwah keluar menghantar anaknya ke sekolah dia dimaklumkan berhubung kemalangan itu.

“Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan sedih melihat keadaan mereka yang sudah meninggal dunia bergelimpangan di jalan raya.

“Tengah malam tadi, ketika pengebumian dijalankan, cucu saya tidak mempunyai kekuatan untuk melihat jenazah ibu dan dua adiknya dan hanya duduk di dalam kereta.

“Dia juga dilihat menangis teresak-esak menonton berita kemalangan membabitkan ibu dan dua anaknya. Mereka memerlukan masa untuk pulih kerana masih terkejut,” katanya.

Berita berkaitan

'Tragedi hantar anak sekolah'

'Tiga beranak maut, warga Thailand ditahan'

'[UPDATE] Lelaki rempuh motosikal direman'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 4:13 PM