FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nur Izzati Mohamad


SEORANG pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kepala Batas, kerugian RM30,400 dijerat sindiket Macau Scam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 36 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat penghantaran.

Menurutnya, wanita terbabit memberitahu mangsa mempunyai satu bungkusan yang dikirim kepadanya berisi dadah namun dia menafikan sebelum panggilan disambungkan kepada polis.

“Selepas bercakap dengan seorang pegawai polis, mangsa dimaklumkan dia mempunyai kesalahan berhubung kes dadah dan pengubahan wang haram.

“Bimbang ditahan, mangsa akhirnya terjerat apabila dia melakukan tiga transaksi wang yang kononnya akan disiasat pegawai audit dari Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM30,400,” katanya hari ini.

Norzainy berkata, mangsa akhirnya sedar ditipu selepas memaklumkan perkara terbabit kepada suaminya dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Menurtnya, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket penipuan jenayah komersial yang semakin berleluasa.

“Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh individu yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi polis atau organisasi berkaitan untuk sebarang pengesahan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:50 AM