NORZAINY menunjukkan imej suspek yang dikehendaki susulan kejadian samun di Jalan Raja Uda. FOTO Ramdzan Masiam
NORZAINY menunjukkan imej suspek yang dikehendaki susulan kejadian samun di Jalan Raja Uda. FOTO Ramdzan Masiam
Zulfa Mohamad


SELEPAS hampir sebulan diburu, tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian pecah kedai elektrik di Jalan Raja Uda, Butterworth pada 13 Oktober dicekup dalam dua serbuan berasingan 3 November lalu.

Dalam serbuan itu, sepasukan polis Bahagian D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (IPDSPU) diketuai Asisten Superintendan Mohd Yusoff Ibrahim menyerbu kediaman di Pokok Assam dan Aulong, Taiping, Perak sebelum menangkap ketiga-tiga mereka.

Ketua Polis SPU Asisten Komisioner Norzainy Mohd Noor berkata, siasatan mendapati dua daripada tiga suspek berusia 27 hingga 29 tahun itu mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Suspek pertama mempunyai 11 rekod jenayah berhubung pecah rumah manakala suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah.

"Suspek berjaya dikesan hasil analisa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis yang dipecah masuk," katanya pada sidang media di Butterworth, hari ini.

Dalam kejadian 13 Oktober lalu, suspek bertindak memasuki kedai barang elektrik melalui tingkap tandas dan mencuri 65 unit telefon bimbit pintar yang diletakkan di ruang pameran.

Norzainy berkata, hasil soal siasat, suspek pertama dan kedua mengaku memecah masuk premis terbabit manakala suspek ketiga mengaku menjual telefon bimbit yang dicuri.

"Polis kini memburu seorang lagi rakan suspek berusia 25 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 8:48 PM