Dadah yang ditemui dalam papan lapis dalam beg pakaian dua lelaki. FOTO Ihsan PDRM
Dadah yang ditemui dalam papan lapis dalam beg pakaian dua lelaki. FOTO Ihsan PDRM
Hasbi Sidek


POLIS menemui dadah yang disorok dalam papan lapis yang direka khas dan diletakkan dalam beg pakaian dua lelaki di sebuah hotel dekat Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Dadah jenis ketamin empat kilogram dan dianggarkan bernilai RM240,000 itu dirampas dalam serbuan 8.30 pagi daripada dua lelaki yang disyaki bertindak sebagai pengedar dadah untuk pasaran luar negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM858 dan kereta Honda City.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan dua lelaki berusia 24 dan 33 tahun di sebuah hotel di Jalan Kuchai Lama.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas dadah disyaki ketamin empat kilogram.

“Dadah disorok dengan cara dilekatkan pada papan pelapik yang direka khas di dalam beg,” katanya hari ini.

Beliau berkata, anggaran nilai rampasan dadah RM240,000 manakala nilai sitaan membabitkan wang tunai dan kereta Honda City berjumlah RM10,858.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula 28 April lalu hingga 4 Mei ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (1952) yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah keldai dadah yang bergiat aktif tiga bulan lalu dalam kegiatan pengedaran dadah jenis ketamin ke luar negara.

“Dengan kejayaan tangkapan ini, pihak polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah menggunakan keldai dadah yang didalangi warga tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:13 PM