FADIL (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada wanita warga Filipina. FOTO Nasrawati Syarifuddin
FADIL (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada wanita warga Filipina. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


WANITA Filipina ditahan kerana memiliki syabu seberat 3.03 kilogram (kg) bernilai RM240,000 dalam serbuan Ops Tapis di Kampung Pengkalan Wakuba, Batu 15 Jalan Apas, Tawau, semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 pagi, suspek berusia 55 tahun ditahan dalam operasi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Strike Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu rumah berkenaan yang dipercayai menjadi lokasi pengedaran dadah.

Katanya, sebaik tiba, anggota polis mendapati suspek berada di dalam rumah berkenaan.

"Anggota polis yang melakukan pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik berwarna kuning dan di dalamnya, terdapat lagi satu bungkusan plastik berwarna hitam.

"Pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan itu membawa kepada penemuan enam peket plastik lutsinar yang berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang media, hari ini.

Fadil berkata, dadah seberat 3.03 kg dengan nilai RM240,000 kemudian dirampas dan suspek ditahan lalu dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati wanita itu negatif dadah, selain tidak memiliki rekod jenayah.

"Kita percaya wanita ini adalah ahli sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di daerah ini. Sehubungan itu, kita masih memburu ahli lain,” katanya.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:20 PM