Tuanku Mukhriz bersama Tuanku Aishah Rohani berkenan hadir pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019 di Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Tuanku Mukhriz bersama Tuanku Aishah Rohani berkenan hadir pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019 di Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

[email protected]

QARI dari Selangor, Abdul Khair Jalil dan qariah dari Negeri Sembilan, Nor Farhatul Fairuzah Panut masing-masing dinobatkan johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1440H/ 2019M yang diumumkan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban malam ini.

Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang wang tunai RM15,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderahati dan sijil.

Hadiah disampaikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Mahmud.

Bagi tilawah lelaki, naib johan disandang qari dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang menerima RM10,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji manakala tempat ketiga dimenangi qari dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Fakhrul Razi Wan Mohammad yang memperoleh RM7,500 dan juga tambahan RM10,000 bagi menunaikan haji.

Untuk tilawah wanita, qariah dari Selangor, Nor Faizah Panut meraih tempat kedua dan tempat ketiga disandang Awatif Abdul Majid dari Pulau Pinang yang turut menerima hadiah sama.

Bagi peserta lain, mereka menerima saguhati RM3,000, cenderahati dan sijil.

Dalam majlis hafazan dari juzuk 1 hingga 10, qari dari Selangor, Muhammad Al Nawawi Borhan dinobatkan johan diikuti Muhammad Amnan Muhammad Sani (Melaka) di tempat kedua dan Muhammad Ziyad Mohd Husni (Johor) di tempat ketiga. Untuk peserta wanita pula, qariah dari Selangor, Umni Nadjah Abd Samad diumumkan pemenang diikuti Masyithah Mohd Farid (Melaka) di tempat kedua dan Nurul Izzah Mukhali (Sarawak) di tempat ketiga.

Johan menerima RM5,000 dan piala, RM4,000 untuk naib johan, RM2,000 tempat ketiga dan RM1,000 untuk penerima saguhati. Majlis hafazan bagi kategori juzuk 1 hingga 20 menyaksikan Ahmad Luqman Ismail juga dari Selangor dan qariah Perak, Adibah Husni Ahmad Rozaidi menjadi johan dengan menerima RM7,000 dan tambahan RM7,000 untuk menunaikan umrah.

Bagi kategori terakhir iaitu hafazan juzuk 1 hingga 30, johan masing-masing menjadi milik qari Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail dan qariah Kedah, Raudah Abdul Razak yang menerima RM15,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji dan akaun Al-Awfar berjumlah RM20,000 sumbangan Bank Islam.

Habuan berganda diraih pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi keempat-empat kategori apabila kerajaan Negeri Sembilan menyumbangkan simpanan emas bernilai RM1,400. Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Mac lalu dan berlangsung enam hari dengan penyertaan 112 peserta tilawah dan hafazan yang mewakili 14 negeri.

Mereka diadili 16 hakim tilawah dan 17 hakim hafazan dengan johan setiap kategori akan mewakili negara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), 15 hingga 20 April ini.

Majlis penutup turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Fuziah ketika berucap berkata, tema majlis 'Menyantuni Umat Membawa Rahmat' bertepatan dengan semangat penganjuran dan ia adalah intipati dalam al-Quran.

Katanya, agama suci ini membawa rahmat ke dunia dan sebagai kerajaan proaktif, pemimpin pada hari ini berusaha membawa kesinambungan dakwah yang ditinggalkan Rasulullah SAW kepada rakyat berbilang kaum.

“Teks al-Quran perlu dicerna dalam bentuk amalan dan diterap dengan usaha menyantuni umat Islam dan masyarakat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 11:13 PM