Polis mengangkat mayat mangsa yang diserang buaya semalam. FOTO Ihsan PDRM
Polis mengangkat mayat mangsa yang diserang buaya semalam. FOTO Ihsan PDRM
Harun Yahya


WARGA emas berusia 72 tahun maut dibaham buaya di Sungai Kampung Bakong, Dalat, Mukah semalam.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Roslan Leman berkata, sebelum kejadian mangsa memberitahu adiknya mahu mandi di sungai itu kerana cuaca agak panas.

“Namun mangsa tidak pulang ke rumah sehingga 4 petang semalam.

“Berikutan itu, adiknya mencari mangsa di tebing sungai namun hanya menemui baju dan selipar abangnya.

“Bimbang perkara buruk berlaku, adik mangsa bersama empat penduduk kampung meneruskan pencarian di sekitar tebing sungai,” katanya hari ini.

Mayat warga emas itu ditemui penduduk kampung di sungai berhadapan Kampung Terus, Oya, kira-kira empat kilometer dari tebing sungai tempat mangsa mandi.

“Mayat ditemui dalam keadaan tidak lengkap anggota badan dengan kaki sebelah kanannya hilang.

“Mayat kemudian dibawa ke tebing sungai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 3:06 PM