Mayat nelayan sungai yang menjadi mangsa serangan buaya ditemui di Sungai Batang Oya, Dalat, malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Mayat nelayan sungai yang menjadi mangsa serangan buaya ditemui di Sungai Batang Oya, Dalat, malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Konflik manusia dengan buaya terus membelenggu penduduk khususnya nelayan di Sungai Batang Oya di Dalat, Mukah.

Ia berikutan serangan terbaharu reptilia itu yang mengorbankan nelayan sungai, Roslin Madaie, 58, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, ia adalah serangan buaya yang kelapan dilaporkan di daerah Dalat dalam tempoh beberapa tahun ini.

Menurutnya, enam daripada laporan itu membabitkan kematian, manakala dua lagi terselamat dalam serangan haiwan ganas berkenaan.

"Kejadian terbaharu berlaku kira-kira 10.30 malam tadi selepas dimaklumkan oleh orang awam yang menghubungi polis.

"Berdasarkan maklumat saksi kejadian, mangsa disambar seekor buaya ketika sedang menebar jala dari botnya sebelum diheret ke dalam Sungai Batang Oya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Saga, rakan mangsa yang cemas dengan kejadian itu kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk menjalankan pencarian dengan kaedah tradisional iaitu menggunakan mata kail yang ditunda menggunakan bot.

"Selepas beberapa jam pencarian iaitu pada 12.30 tengah malam, mata kail yang digunakan tersangkut pada mangsa yang tenggelam di dasar sungai," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian ditarik ke permukaan sebelum dihantar ke Hospital Dalat untuk tindakan lanjut.

"Hasil pemeriksaan oleh doktor mendapati kecederaan pada badan mangsa adalah sinonim dengan kecederaan akibat gigitan binatang buas.

"Mangsa dipercayai diheret masuk ke dalam air dan lemas. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 2:24 PM