BERNAMA

LELAKI berputih mata selepas mengalami kerugian RM487,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, lelaki 20-an itu mendakwa menerima panggilan yang mengatakan mangsa ada tunggakan bayaran kad kredit.

“Mangsa menafikan perkara itu kerana tidak mempunyai kad kredit, kemudian panggilan itu disambungkan ke talian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kononnya mangsa terbabit dengan kes penyeludupan dadah dan pecah amanah.

“Kemudian mangsa diarahkan membuka akaun baru dan menyerahkan butiran perbankan itu kononnya untuk proses penyiasatan Juruaudit Negara.

“Semalam ketika mangsa menyemak semula akaun barunya mendapati wang simpanannya itu lesap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustafa berkata, kerana takut dan panik, mangsa mengikut semua arahan sindiket tanpa usul periksa walaupun tahu mengenai Macau Scam melalui pelbagai saluran media.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 9:07 PM