FOTO hiasan
FOTO hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


AHLI perniagaan kerugian RM347,800 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa dia mempunyai tunggakan kad kredit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 63 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bernama Hafiz pada 21 Ogos lalu.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa dari Mahkamah Melaka dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan kad kredit dari sebuah bank sebanyak RM16,000.

“Mangsa menafikan tunggakan itu sebelum suspek memberitahu maklumat peribadi mangsa disalah guna dan meminta mangsa membuat laporan secara atas talian.

“Suspek kemudian menyambungkan panggilan telefon dan bercakap dengan seorang lagi suspek dikenali Inspektor Leong dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Inspektor Leong memberitahu mangsa terbabit kes penggubahan wang haram dan (suspek) meminta mangsa memberi maklumat akaun bank untuk tujuan siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Noor Janihan berkata, mangsa kemudian memberikan dua maklumat akaun bank miliknya kepada suspek.

Katanya pada 6 September lalu, mangsa membuat semakan akaun bank dan mendapati wang dalam akaun pertama berkurangan RM254,800 manakala akaun kedua susut RM93,000.

“Mangsa mengesyaki ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Selangor pada 9 September lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 12:56 PM