DATUK Akbar Ali. Gambar fail
DATUK Akbar Ali. Gambar fail
Amir Mamat


BEKAS Ahli Dewan Negara, Datuk Akbar Ali meninggal dunia di Hospital Melaka pagi tadi, selepas diserang angin ahmar sejak dua hari lalu.

Akbar, 70 menghembuskan nafas terakhir 11.05 pagi di sisi isteri, Datin Kalsom Aziz serta beberapa ahli keluarga lain.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tedong, Serkam, Melaka untuk disembahyangkan di Masjid Jamek Tedong sebelum dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Tedong jam 3.30 petang.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Allahyarham yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 2008 mewakili Melaka selama tiga tahun, meninggalkan seorang balu, lima anak dan sembilan cucu.

MAYAT wanita yang terjun dari tingkat 23 kondominium di Georgetown. FOTO Ihsan Polis
MAYAT wanita yang terjun dari tingkat 23 kondominium di Georgetown. FOTO Ihsan Polis

Semasa hayatnya, Allahyarham aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat jabatan kerajaan, kampung, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Lulusan Universiti Malaya dan Sarjana Sains dari London School of Economics & Political Science (LSE) itu memasuki Perkhidmatan Awam pada 1973 sebagai Perangkawan di bawah Skim Perkhidmatan Perangkawan sehingga beliau bersara sebagai Timbalan Ketua Perangkawan pada 2005.

Susulan kepakaran dan pengalaman yang luas, beliau dipilih mewakili negara dalam pelbagai persidangan, perundingan dan kumpulan pakar yang merangkumi ekonomi, perdagangan antarabangsa, pertanian, alam sekitar dan pembangunan modal insan.

Antara badan antarabangsa yang beliau turut terbabit adalah UN Economic and Social Commission for Asia-Pacific (ESCAP); UN Asia-Pacific Commission on Agricultural Statistics (APCAS); Asian Development Bank (ADB); Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) dan Statistical Institute for Asia-Pacific (SIAP).

Beliau kemudian dipinjamkan ke Socio-Economic Research Unit (SERU); Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri; Institut SEDAR di bawah KEMAS dan seterusnya ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka pada 2001.

Akbar seterusnya diberi kepercayaan untuk melaksanakan pelbagai tugas di Melaka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengurusan Melaka (IMM); Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Melaka (IIM); Pengarah EksekutifMajlis Tindakn Ekonomi Negeri (MTEN); Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan; Pengurus MAIM Travel; Ketua Pengarang Melaka Hari Ini (MHI) dan Setiausaha Akhbar Ketua Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 5:44 PM