KEADAAN rumah di kampung Tedong Pekan, Serkam yang musnah dijilat api. FOTO Amir Mamat
KEADAAN rumah di kampung Tedong Pekan, Serkam yang musnah dijilat api. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

Jasin: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Kampung Tedong Pekan, Serkam, di sini musnah dijilat api, petang semalam.

Kejadian pada 6.30 petang itu memusnahkan 90 peratus kediaman berkenaan menyebabkan penghuninya tidak mampu menyelamatkan beberapa barangan peribadi, termasuk dokumen pengenalan serta baju raya yang baru dibeli.

Kejadian itu memusnahkan harapan keluarga itu untuk menyambut Aidilfitri dengan meriah tahun ini selepas tidak menyambutnya tahun lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemilik rumah berkenaan, Puteh Endot, 87, berkata, ketika kejadian dia baru selesai menyiapkan juadah berbuka puasa, sebelum terdengar sesuatu yang pelik.

Katanya, dia memanggil seorang anaknya lalu bertanyakan mengenai bunyi berkenaan, sebelum terlihat api mula marak bermula daripada rumah seorang lagi anaknya yang terletak bersebelahan.

"Anak saya jerit, 'mak rumah terbakar' sebelum membawa saya keluar rumah. Saya nak ambil kad pengenalan pun tak sempat kerana memikirkan keselamatan lebih utama.

"Kejadian ini sangat menyedihkan kerana rumah ini adalah pusaka tinggalan ibu bapa saya sejak 100 tahun lalu.

"Ni dah nak raya, saya tiada rumah. Kalau seorang pun kita nak juga beraya di rumah sendiri, apatah lagi kalau sambut bersama anak-anak.

"Sedih juga, tapi apakan daya, Allah menguji saya sekeluarga di bulan mulia ini. Saya terima dengan hati terbuka," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini..

Anak mangsa, Zainiah Dolah, 48, berkata selepas mendapat tahu mengenai kejadian itu, dia yang tinggal di Kampung Tedong Pantai bergegas ke kediaman ibunya itu.

"Apabila sampai, saya terus bertanya mengenai emak. Apabila dapat tahu emak dah selamat keluar, saya lega namun sedih melihat rumah hangus dijilat api," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tedong Pekan, Talib Husin berkata, keluarga berkenaan ditempatkan sementara di sebuah rumah sewa terletak berhampiran kediaman mereka.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan turut mengusahakan sebuah rumah milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Taman Rimbunan Kaseh, Serkam, di sini untuk menempatkan keluarga malang itu bagi meneruskan puasa serta menyambut hari raya.

"Semua kos pemindahan dan membaik pulih rumah sementara itu ditanggung Zaidi menerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

"Insya-Allah, keluarga itu akan dipindah dalam tempoh terdekat bagi memberi keselesaan kepada mereka membuat persiapan menjelang Aidilfitri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:49 PM