Mangsa yang maut (gambar kiri) Musa, Norsuraya dan anak lelaki mereka, Muhammad Zulkarnain manakala Nur Quraitun Ain parah. Turut maut (gambar kanan) Mohd Noor dan Hashimah. FOTO Ihsan Keluarga
Mangsa yang maut (gambar kiri) Musa, Norsuraya dan anak lelaki mereka, Muhammad Zulkarnain manakala Nur Quraitun Ain parah. Turut maut (gambar kanan) Mohd Noor dan Hashimah. FOTO Ihsan Keluarga
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Mohamad Azim Fitri Abdul Aziz


LIMA beranak yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri kahwin maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka hilang kawalan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 101 Jalan KuanTan-Kuala Lumpur dekat Batu 14, Kampung Semat, Maran hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu mangsa Norsuraya Mohd Noor, 30, bersama suami Musa Abdullah, 31, serta anak lelaki mereka Muhammad Zulkarnain, 3, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Kejadian itu turut meragut nyawa ibu dan bapa Norsuraya, Hashimah Ismail, 66, dan Mohd Noor Che Mat, 78, sementara anak perempuannya Nur Quraitun Ain, 5, parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kereta dipandu Norsuraya yang juga guru kelas agama dan fardu ain (KAFA) di Bandar Jengka dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Siasatan kita mendapati kereta dipandu mangsa bergesel dengan Proton Iswara selepas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Hilux.

“Ketika kejadian mereka dari arah Kuala Lumpur menuju ke FELDA Jengka 6 selepas selesai menghadiri kenduri kahwin,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Proton Iswara, Mohd Yuszi Yusof, 46, dan pemandu Toyota Hilux, Tan Cheng Keot, 52, tidak mengalami kecederaan.

Kamarulzaman berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sementara kanak-kanak perempuan yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan di lokasi kemalangan mendapati jalan lurus dengan satu lorong dua hala dan ketika kejadian cuaca baik dan permukaan jalan kering.

Beliau berkata, keterangan pemandu Proton Iswara dan Toyota Hilux sedang diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Lima maut kemalangan babitkan tiga kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 9:26 PM