Ahmad Suhael Adnan


KEPUTUSAN siapa yang bakal mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hanya akan diputuskan selepas perbincangan antara semua parti dalam blok pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, persoalan sama ada beliau bakal mengisi jawatan itu jika ditawarkan oleh kerajaan, akan dibuat secara adil bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan belum dibuat kerana tiada tawaran rasmi diterima daripada kerajaan untuk menjadi Pengerusi PAC.

“Saya belum menerima sebarang tawaran rasmi untuk menjadi Pengerusi PAC. Namun, lazimnya jawatan itu datang daripada kerajaan dan Timbalan Pengerusi adalah pembangkang.

“Saya akan mengadakan rundingan dengan rakan dalam UMNO, BN serta PAS dalam blok pembangkang kerana biasanya ada empat orang (pembangkang) dipilih menduduki PAC.

“Oleh kerana saya hanya membaca laporan media tapi tidak menerima sebarang surat rasmi, saya hanya akan mengambil tindakan selepas tatacara mengikut kelaziman amalan Parlimen itu diterima,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Kelmarin, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming membayangkan Ahmad Zahid akan dilantik sebagai Pengerusi PAC, selaras janji Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengesahkan kerajaan hanya mempertimbangkan nama Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk mengisi jawatan terbabit buat masa ini dan ia bergantung pada persetujuan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ditanya sama ada janji PH untuk menjadikan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi PAC itu sebagai sesuatu yang baik, Ahmad Zahid berkata, ia bergantung pada interpretasi dan tujuan tersirat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 8:32 PM