Anggota Bomba memadamkan kebakaran tiga premis perniagaan di Jalan Guchil Bayam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Anggota Bomba memadamkan kebakaran tiga premis perniagaan di Jalan Guchil Bayam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris


TIGA pekerja premis peralatan mesin nyaris rentung dalam kebakaran di Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu, petang tadi.

Kebakaran pada jam 4.30 petang itu membabitkan dua premis menjual peralatan mesin dan sebuah kedai kosmetik.

Ketika kejadian tiga pekerja premis peralatan mesin berasal dari Bangladesh masing-masing berusia 30-an sedang berehat di bahagian belakang bangunan berkenaan.

Semua mangsa sempat menyelamatkan diri selepas menyedari berlaku kebakaran berikutan berasa bahang dan terhidu asap.

Akibat kebakaran dua premis menjual peralatan mesin musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi kedai barangan kosmetik terbakar 50 peratus.

Pemilik premis peralatan mesin, M Siva, 46, berkata, hari ini kedainya dibuka sehingga jam 1 tengah hari.

Dia memberitahu ketika kejadian tiga pekerjanya sedang berehat kerana kepenatan selepas bekerja.

Katanya, ketika berada di rumah, dia menerima panggilan daripada pekerja terbabit yang memaklumkan mengenai kebakaran berlaku.

“Tiga pekerja saya tinggal di kedai berkenaan, ketika itu sedang tidur di belakang premis. Mereka beritahu ketika itu api sudah marak dan kedai dipenuhi asap.

“Pada mulanya mereka cuba memadamkan kebakaran tapi gagal kerana api marak terlalu cepat menyebabkan mereka lari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.42 petang .

Katanya, operasi memadamkan kebakaran membabitkan 18 anggota dari BBP Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Pasir Tumboh serta 11 anggota bomba sukarela (PBS).

“Ketika tiba di lokasi 60 peratus premis berkenaan sedang terbakar dan api berjaya dikawal sejam kemudian.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar menyebabkan kebakaran dan nilai kerugian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 7:46 PM