Teoh Pei Ying

“SAYA sudah hilang mata pencarian dalam kebakaran. Bermula esok, saya terpaksa makan bubur,” keluh Rosmadi Jamaludin, 35, pemilik bengkel motosikal yang musnah dalam kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur, semalam.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, ketika kejadian dia sedang menghantar anaknya ke sekolah apabila dia menerima panggilan telefon daripada rakannya memaklumkan bengkelnya sedang terbakar.

“Saya tinggal di PPR Desa Rejang, saya boleh nampak jentera bomba dan asap dari rumah saya, saya tidak sangka bengkel saya yang terbakar.

“Ketika saya sampai, saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa apabila melihat api sedang marak membakar bengkel saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rosmadi berkata, dia baru sahaja membuka bengkel terbabit sembilan bulan lalu.

“Saya gunakan semua simpanan saya untuk membuka bengkel ini, saya mula dari bawah dan perniagaan saya sudah mula berkembang.

“Saya kerugian RM4800 wang simpanan dan alat ganti dan mesin yang bernilai RM5000. Wang itu saya simpan untuk membeli kereta baharu. Saya sedih dan amat kecewa, saya anggap ia sebagai dugaan,” katanya.

Tiga premis musnah dalam kebakaran kira-kira pada 9 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.07 pagi.

“Sepasukan 20 anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Setapak, Wangsa Maju dan Hang Tuan dikerah ke lokasi kejadian.

“Tiga premis yang terbabit adalah kedai runcit, restoran dan bengkel motosikal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Nordin berkata, bomba mengambil masa selama satu jam untuk memadamkan kebakaran.

“Api berjaya dikawal pada 9.31 pagi sebelum padam sepenuhnya pada 10.14 pagi.

“Kesemua premis terbabit musnah, tiada mangsa yang cedera atau maut dalam kebakaran ini, punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 9:08 AM