MANGSA yang dipercayai terhidu gas kimia berbahaya dibawa ke HSI selepas mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
MANGSA yang dipercayai terhidu gas kimia berbahaya dibawa ke HSI selepas mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Ibrahim Isa


SEHINGGA tengah hari ini, 1,906 penduduk terjejas akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dengan 276 orang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan sejak 11 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, semua pesakit itu ditempatkan di Pusat Perubatan (Medic Base) dengan seramai 1,483 di Dewan Taman Pasir Putih sebelum 224 orang daripada jumlah itu dirujuk ke HSI.

“Manakala, 423 mangsa ditempatkan di Medic Base Dewan Taman Mawar dengan 52 kes dirujuk ke HSI. Pada masa sama, 869 mangsa mendapatkan rawatan secara terus di hospital dan klinik sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru tanpa merujuk kepada Medic Base yang dibuka.

“Bagi memastikan jumlah mangsa berada pada tahap terkawal, kerajaan negeri mengambil langkah pemantauan udara secara berkala bagi memastikan orang ramai sentiasa mengikuti perkembangan terkini insiden ini.

“Selain 111 sekolah di Pasir Gudang diarahkan tutup, kerajaan mengarahkan sebanyak 92 tadika dan taska di kawasan sama ditutup sehingga tempoh akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) negeri, 64 tadika dan satu taska di kawasan Parlimen Pasir Gudang diarahkan tutup, di samping 25 tabika dan satu taska di Parlimen Tebrau dan satu tabika di Parlimen Tenggara.

Menurutnya, penduduk perlu peka dengan persekitaran dan mengikut arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa memandangkan usaha pembersihan pencemaran toksik sudah dimulakan.

“Memandangkan kesan pencemaran agak berisiko terhadap kesihatan, adalah penting untuk mendapatkan rawatan awal di hospital seandainya terdapat sebarang kesan akibat terdedah kepada pencemaran sisa bahan kimia itu.

“Sehingga kini, seramai 426 petugas membabitkan 19 jabatan dan agensi kerajaan ditempatkan bagi memastikan kawalan insiden ini berada pada tahap terbaik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 9:52 PM