Antara peserta perhimpunan haram yang menyokong LGBT semalam. (Gambar kecil) Mohd Asri. Foto Ihsan FB Cikgu Azmi MAPIM
Antara peserta perhimpunan haram yang menyokong LGBT semalam. (Gambar kecil) Mohd Asri. Foto Ihsan FB Cikgu Azmi MAPIM
Hairulazim Mahmud

HAIWAN pun ‘hairan’ dengan tindakan penyokong dan pendokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berhimpun secara haram dan berarak di ibu negara kerana ia bertentangan dengan fitrah insani apatah lagi syariat Islam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, golongan songsang berkenaan berhimpun dan menjerit menuntut supaya kesongsangan hidup mereka diiktiraf berbanding haiwan yang sentiasa berada atas ketetapan ciptaan Tuhan.

“Mereka bukan sahaja mendedahkan keaiban diri mereka bahkan mendedahkan betapa mereka itu 'cacat' mencacatkan fitrah.

“Perarakan seperti itu bukan sahaja menghairankan manusia yang menuruti fitrah yang Allah tetapkan, tapi ia juga boleh menghairankan alam haiwan yang sentiasa berada atas ketetapan ciptaan Tuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui status terkininya menerusi laman Facebooks rasminya Dr MAZA.com hari ini.

Mohd Asri mengulas perhimpunan dan perarakan haram yang berselindung di sebalik perarakan sempena Hari Wanita Sedunia semalam yang bermula di pusat beli belah Sogo di sini sebelum menuju ke Dataran Merdeka untuk menuntut supaya golongan LGBT diberikan sama rata seperti rakyat Malaysia lain.

Berikutan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis hari ini kerana tindakan kumpulan itu yang melanggar undang-undang.

Mereka melaungkan perkataan ‘Hidup wanita! Hidup, hidup! LGBT!’ semasa berarak.

Difahamkan, ia disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) dan aktivis serta pelajar.

Perhimpunan itu juga disertai penyokong LGBT yang antara lain membawa bendera warna pelangi pelbagai saiz yang juga simbol golongan terbabit.

Berdasarkan matlamat asal perhimpunan sempena Hari Wanita, mereka dituntut penghapusan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 4:21 PM