Keadaan motosikal dinaiki Muhammad Dinie yang maut selepas melanggar kerbau dalam kemalangan di Jalan Kuala Teriang, Langkawi. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan motosikal dinaiki Muhammad Dinie yang maut selepas melanggar kerbau dalam kemalangan di Jalan Kuala Teriang, Langkawi. FOTO IHSAN PEMBACA
Hamzah Osman


Langkawi: Pelajar Tingkatan Enam sempat bersalam dengan bapanya sebelum motosikal ditunggangnya melanggar kerbau dalam kemalangan di Jalan Kuala Teriang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa Muhammad Dinie Izzat Mohd Shukor, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.

Bapa mangsa, Mohd Shukor Idris, 53, berkata sebelum kejadian arwah anaknya sempat bersalam dan memberitahu mahu keluar bermain badminton sebelum menyertai sesi belajar berkumpulan bersama rakan.

"Malam tadi, selepas Maghrib arwah anak yang dipanggil adik datang bersalam dan beritahu nak pergi main badminton bersama rakan-rakan, kemudian katanya nak balik lewat sikit sebab ada 'study group'.

"Selang beberapa minit selepas dia keluar rumah, ada kawan telefon beritahu anak kemalangan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini, hari ini.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, hatinya luluh selepas mendapati anak bongsu daripada tiga beradik itu sudah tidak bernyawa, tetapi reda dengan ketentuan Ilahi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa tidak sempat membrek sebelum melanggar kerbau yang melintas jalan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 3:02 PM