Fahmi Fadzil (tiga dari kiri) diiringi Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (dua dari kiri) dan Takahashi Katsuhiko (tiga dari kanan) bersama Pengarah Urusan Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd, Narukama Hiromitsu (dua dari kanan), Pengarah Urusan Sony EMCS (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Imai (kiri) dan Pengarah Urusan, Kintone SEA Sdn Bhd, Tsubasa Nakazawa (kanan) ketika sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Pelancaran Program Malaysia - Japan Digital Transformation and Innovation Seminar 2023 di MSU Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Fahmi Fadzil (tiga dari kiri) diiringi Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (dua dari kiri) dan Takahashi Katsuhiko (tiga dari kanan) bersama Pengarah Urusan Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd, Narukama Hiromitsu (dua dari kanan), Pengarah Urusan Sony EMCS (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Imai (kiri) dan Pengarah Urusan, Kintone SEA Sdn Bhd, Tsubasa Nakazawa (kanan) ketika sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Pelancaran Program Malaysia - Japan Digital Transformation and Innovation Seminar 2023 di MSU Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Management and Science University (MSU) dengan kerjasama Malaysia Japan Relationship Association (Jalinan Malaysia Jepun) menganjurkan program Seminar Transformasi Digital dan Inovasi Malaysia-Jepun 2023, hari ini.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, penganjuran program itu adalah inisiatif bagi memperkasakan hubungan Malaysia dan Jepun yang terjalin sejak 66 tahun lalu serta 40 tahun Dasar Pandang ke Timur (LEP).

Menurutnya, penganjuran seminar itu juga sebagai platform dalam berkongsi maklumat perkembangan semasa inovasi, teknologi dan transformasi digital khusus di MSU serta di Malaysia dan Jepun amnya.

"Inisiatif seperti Malaysia Digital dalam revolusi digital dan ekonomi digital global serta Digital Nasional yang melaksanakan misi dan visi selaras dengan Rangka Tindakan Digital Ekonomi Malaysia (MyDIGITAL) yang memfokuskan kepada membangun dan menguruskan rangkaian 5G memberikan impak kepada landskap pendidikan tinggi negara.

"Impak dapat dilihat khasnya kepada aspek transformasi teknologi, keselamatan siber serta kecerdasan buatan yang menyaksikan keperluan kepada kerjasama pintar antara institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pemain utama industri.

"Selari dengan visi MSU melahirkan individu holistik dan berkemahiran tinggi, inisiatif ini adalah penambahbaikan kepada ekosistem sedia ada universiti, yang diterap melalui program mobiliti, penyelidikan bersama dan pengkomersilan," katanya.

Pelancaran seminar berkenaan disempurnakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, di MSU di sini, hari ini.

Turut hadir, Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Mohd Shukri berkata, sehingga kini, MSU melaksanakan pelbagai strategi mampan dalam aspek transformasi digital, teknologi, keselamatan siber serta kecerdasan buatan.

"Antaranya ialah melalui penubuhan Centre of Cyber Security and Artificial Intelligence (CCSAI) dan MSU Innovation and Entrepreneurship Sandbox (MINES).

"Penubuhan ini berperanan memperkasakan ekosistem keusahawanan dan teknologi dalam kalangan pelajar MSU yang kadar kebolehpasaran terkini adalah 99 peratus iaitu antara terbaik dalam kalangan IPTS di Malaysia," katanya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MSU, Mitsui & Co., Ltd, Sony Network Communications Inc, dan Kintone South East Asia dengan kerjasama pihak yang terbabit merangkumi bidang transformasi digital dan inovasi.

Sesi ucaptama seminar membabitkan Setiausaha Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi, Kementerian Komunikasi dan Digital, Mohd Nazrol Marzuke dan wakil dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.

Seminar 'Forthcoming Digital Transformation and Innovation in Malaysia and Japan' pula membabitkan panel terdiri daripada Pengarah Urusan Sony Network Communications Inc., Hiroshi Imai; Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Robopreneur, Dr Hanafiah Yussof; Ketua Pengurusan Teknologi (Penyelidikan) Mimos Berhad dan Chair of IEEE Malaysia Section, Dr Nordin Ramli.

Panel lain ialah Pengerusi Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) Cawangan Selangor dan Kuala Lumpur, Dr Helena Eian Yeut Lan serta Naib Presiden Kanan Jalinan Industri dan Keusahawanan MSU, Profesor Dr Abdul Jalil Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 12:47 PM