Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 418 usahawan Orang Asli dilahirkan menerusi program keusahawanan anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam pelbagai bidang termasuk dalam sektor pelancongan, peruncitan dan perkhidmatan pengangkutan.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi JAKOA Syed Abd Bari Syed Othman, berkata pihaknya meletakkan sasaran melahirkan 500 usahawan Orang Asli menjelang 2015.

“Program yang diadakan adalah sebagai medium mengenai hala tuju serta penglibatan Orang Asli dalam bidang keusahawanan.

“Kerajaan memperuntukkan pelbagai bantuan seperti premis dan peralatan berniaga bagi menggalakkan masyarakat Orang Asli terbabit dalam dunia keusahawanan dengan lebih serius,” katanya selepas merasmikan Seminar Usahawan Orang Asli 2014, di sini.

Seminar sehari itu turut mendapat kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), bertujuan memberi pendedahan keusahawan kepada masyarakat minoriti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 September 2014 @ 10:55 PM