Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

POLIS menumpaskan Geng Jeff yang menawarkan pinjaman kewangan tidak wujud dengan penangkapan empat ahli kumpulan itu di sebuah apartmen di Port Dickson, 25 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, tiga wanita dan seorang lelaki berusia 17 hingga 23 tahun itu ditahan jam 10.30 pagi.

Katanya, siasatan mendapati premis itu disewa kumpulan terbabit untuk menjalankan aktiviti penipuan sejak enam bulan lalu dengan 24 individu menjadi mangsa membabitkan kerugian berjumlah RM144,000.

“Suspek menawarkan pinjaman tidak wujud di laman sosial Facebook dengan peminjam perlu membayar lima peratus daripada jumlah pinjaman sebagai wang memproses dokumen.

“Antara yang menarik perhatian peminjam adalah mereka yang disenarai hitam oleh pihak bank boleh membuat pinjaman,” katanya pada sidang media di Pejabat JSJK negeri di sini, hari ini.

Aibee berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas beberapa buku catatan, sembilan telefon bimbit dan 93 kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi yang disyaki digunakan untuk aktiviti itu.

Katanya, semua suspek yang berasal dari Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak itu direman 10 hari sehingga Rabu ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut polis mendapati, suspek turut menggunakan akaun bank milik orang lain dan memberikan komisen kepada pemilik akaun itu.

“Polis turut menyiasat pemilik akaun bank terbabit kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan bersubahat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, JSJK menerima 195 kes penipuan membabitkan kerugian RM1.2 juta pada 2017 manakala 306 kes dengan kerugian RM1.9 juta, tahun lalu.

“Setakat Februari tahun ini, kita sudah menerima 47 kes dengan kerugian berjumlah RM484,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 4:25 PM
Aibee menunjukkan barangan rampasan kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi untuk menghubungi mangsa dari kumpulan Jeff pada sidang media di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan. FOTO Adzlan Sidek
Aibee menunjukkan barangan rampasan kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi untuk menghubungi mangsa dari kumpulan Jeff pada sidang media di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan. FOTO Adzlan Sidek