GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


WANITA warga emas kerugian RM92,400 sebaik diperdaya sindiket Macau Scam kononnya mangsa terlibat dalam aktiviti judi dalam talian, 25 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, pada kejadian 2 petang, mangsa, 72, berada di rumah di Taman Rembau Utama sebelum menerima panggilan seorang lelaki.

Katanya, suspek mendakwa dirinya pegawai Telekom Malaysia (TM) di Kuala Lumpur dan sambungan talian dibuat daripada pegawai polis Bukit Aman.

“Lelaki terbabit mendakwa nombor telefon mangsa terlibat dalam aktiviti judi dalam talian. Suspek mendakwa mangsa membuat pengeluaran wang di bank berjumlah RM1.5 juta.

“Suspek juga menakutkan mangsa kononnya waran tangkap dikeluarkan terhadapnya dan mangsa akan direman 14 hari,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Aibee berkata, suspek meminta mangsa memindahkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke dalam akaun yang diberikan lelaki itu untuk siasatan.

“Akibat takut ditangkap, warga emas terbabit memasukkan RM26,000 di kaunter bank dan RM66,400 menggunakan mesin deposit tunai. Semua transaksi itu dibuat pada 25 dan 26 Mac lalu,” katanya.

Tidak cukup dengan itu katanya, suspek mengarahkan mangsa membakar semua resit pemindahan kononnya bagi mengelak dijumpai polis Bukit Aman sebagai bahan bukti.

“Lelaki itu turut meminta semua perbualan menerusi aplikasi WhatsApp dipadamkan. Wanita itu hanya menyedari tertipu sebaik nombor telefonnya disekat oleh lelaki terbabit,” katanya.

Sehubungan kejadian, mangsa yang belum berkahwin dan tinggal berseorangan membuat laporan di Balai Polis Rembau 26 Mac lalu.

“Siasatan mendapati mangsa pernah bekerja kilang di Singapura dan semua wang itu adalah simpanannya. Siasatan lanjut mendapati suspek menghubungi mangsa menggunakan nombor telefon rumah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dengan suspek kini diburu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 9:05 AM