Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Niat untuk membantu rakan lama bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang pesara guru dari Taman Seremban Jaya di sini, kerugian RM224,840 selepas diperdaya sindiket African Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berusia 63 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada rakan lamanya yang kini menetap di Liverpool, England untuk meminjam sejumlah wang bagi membiayai rawatan anaknya yang sakit.

"Mangsa bersetuju untuk membantu dan memindahkan sejumlah wang ke dalam satu akaun bank diberikan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aibee berkata, rakan mangsa kemudian mendakwa sudah membuat pembayaran balik sebanyak 10,000 Pound Sterling (RM54,263) tetapi memaklumkan terdapat kesilapan jumlah dari bank menjadi sebanyak 100,000 Pound Sterling (RM542,630).

"Mangsa kemudian dihubungi individu yang mengaku pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) meminta mangsa untuk membuat pembayaran sebagai penalti, insurans dan perkhidmatan sekuriti atas kesilapan ini untuk mangsa mendapatkan semula jumlah berkenaan," katanya.

Aibee berkata, mangsa membuat beberapa transaksi pemindahan wang antara 7 hingga 24 September lalu ke akaun 16950252579 atas nama Masrinih Mahali dan akaun 11501017766 atas nama Nurul Aini Abdul.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan transaksi yang dilakukan mangsa adalah sebanyak RM224,840.

"Bagaimanapun, mangsa menyedari dia menjadi mangsa penipuan sindiket apabila proses pembayaran semula tidak berlaku.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Senawang pada 16 November lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 3:31 PM